KUALA LUMPUR: Perasaan malu dengan pemeriksaan kanser prostat merupakan antara alasan ramai lelaki enggan menjalani saringan kesihatan itu.

Pakar Urologi dan Profesor Madya Klinikal, Hospital Gleneagles, Dr George Lee menegaskan pembunuh senyap bagi kaum lelaki itu boleh sembuh sehingga 90 peratus jika pesakit terbabit mendapatkan rawatan awal.

"Memandangkan ia melibatkan organ seksual di mana kadang-kala pesakit mungkin berdepan dengan gejala seperti mati pucuk, kencing berdarah atau air mani bercampur darah menyebabkan perkara ini malu dibincangkan.

"Mungkin ramai yang tidak tahu, penyakit ini boleh didiagnos menerusi ujian darah seperti Antigen Spesifik Prostat (PSA) dan kurangnya kefahaman mengenai kaedah diagnosis bagi penyakit itu menyebabkan tidak ramai yang tampil membuat pemeriksaan" katanya ketika perbincangan mengenai peranan lelaki mengekang stigma terhadap kanser prostat pada AWANI Pagi di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, George Lee menjelaskan prostat kebiasannya membesar apabila usia meningkat dan kanser prostat ialah ketumbuhan berbahaya yang tumbuh dalam kelenjar prostat.

"Ia merupakan kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki," ujarnya.

Meskipun punca kepada kanser tersebut masih tidak dapat dikenal pasti namun beliau berkata, risiko kanser prostat meningkat terutamanya selepas mencecah usia 50 tahun dan lebih daripada 80 peratus penyakit itu didiagnos pada usia lebih 65 tahun.

"Selain itu mereka yang ada sejarah keluarga seperti ayah atau adik-beradik lelaki yang pernah disahkan mempunyai kanser prostat turut meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat penyakit itu," jelasnya.

Sementara itu, bekas Pengerusi CIMB Bhd yang juga pemandiri kanser prostat, Tan Sri Nazir Razak meminta orang ramai supaya lebih bersifat terbuka kerana pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa pesakit itu.

Disebabkan prostat dikaitkan dengan organ seks, beliau berkata, ramai yang malu untuk berbicara mengenai dan cuba 'memendam' perkara itu.

"Bila 'terpendam' lama sangat maka terlambat untuk mendapat rawatan kerana kanser itu sudah merebak ke bahagian lain.

"Sebab itu amat penting untuk kita bersifat keterbukaan terutamanya lelaki yang mempunyai gejala dan mereka yang berusia lebih 50 tahun," ujarnya.